Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jerman akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala, terutama dalam perdagangan dan pelaburan serta membincangkan isu-isu penting seperti keganasan antarabangsa, pelarian serta yang berkaitan Laut China Selatan.

Lawatan berkenaan, di atas jemputan Canselornya, Angela Merkel, yang juga seorang ahli politik utama dalam Kesatuan Eropah (EU), bakal menyaksikan perdana menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin utama perniagaan daripada 24 syarikat Jerman seperti BMW, Daimler, Bombardier Transportation, Osram dan Volkswagen, kata Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datuk Zulkifli Adnan.

Jerman merupakan pelabur terbesar Malaysia dari EU.

Terdapat 400 syarikat Jerman di Malaysia. Dalam enam bulan pertama 2016, syarikat-syarikat Jerman telah melabur sebanyak 1.4 bilion euro (1 euro = RM4.60) di Malaysia. Dalam tempoh 10 tahun lepas, jumlah pelaburan adalah sebanyak RM35 juta.

"Sesi dialog dengan para pemimpin perniagaan berkenaan sangat penting memandangkan selain syarikat-syarikat itu, akan ada tujuh persatuan perniagaan, dan akan diikuti oleh majlis pemeteraian memorandum antara syarikat Malaysia dan Jerman mengenai usaha sama dan pelaburan," kata beliau kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Dalam lawatan rasmi tiga hari bermula 26 Sept, Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Pertemuan dua hala antara Najib dengan Merkel, akan merupakan acara penting bagi lawatan itu memandangkan kedua-duanya akan membincangkan pelbagai perkara selain isu dua hala.

"Kita semua menyedari akan pelbagai ancaman dan cabaran yang dialami Eropah sekarang ini seperti pelarian, Brexit dan keganasan antarabangsa. Jadi ia akan menjadi satu lagi topik utama yang akan dibangkitkan oleh Canselor Merkel."

Perdana Menteri juga dijangka memberi penjelasan serta perkembangan mengenai rantau Asean dan perbincangan dua hala tersebut akan turut menyentuh mengenai isu-isu berkaitan Laut China Selatan.

"Canselor Merkel mungkin ingin mengetahui juga cara macam mana, Perdana Menteri melalui Pertubuhan Kerjasama Islam dapat menangani isu-isu keganasan antarabangsa. Saya jangka inisiatif Malaysia, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) akan juga dibincangkan," katanya.

Malaysia memperkenalkan GMM sebagai inisiatif untuk menolak segala bentuk ekstremisme dan menggalakkan kesederhanaan.

GMM telah mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada para pemimpin dunia serta pertubuhan antarabangsa dan organisasi antara kerajaan serantau.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, akan melawat bandar pelabuhan, Wismar, pada Rabu, di mana Genting Hong Kong Ltd mengambil alih tiga limbungan kapal di Wismar, Warnemunde dan Stralsund di Jerman pada RM1.04 bilion pada 2015.

Pembelian daripada Nordic Yard itu, adalah untuk meningkatkan kehadiran Genting dalam industri dan berjaya sebagai antara pembina kapal pelayaran dan kapal layar mega terbaik.

Perdana Menteri juga dijadual menemui rakyat Malaysia di Jerman semasa lawatan beliau itu.

Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Jerman di ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala sebanyak 11.8 bilion euro (1 euro = RM4.60).

Statistik Jerman menunjukkan import dari Malaysia pada 2015 berjumlah 7 bilion euro, naik sebanyak 13.8 peratus berbanding 2014.

Jerman mengimport barangan elektronik, peralatan pengukuran elektroteknikal dan teknologi kawalan, tekstil dan pakaian serta produk kimia.

Eksport Jerman ke Malaysia pada 2015 berada berjumlah 4.8 bilion euro, naik 0.4 peratus berbanding 2014.

Antara eksportnya ialah barangan elektronik, jentera, bahan kimia, kereta dan komponen kereta serta dan produk elektroteknikal. -- BERNAMA