Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di Seri Perdana hari ini.

MoU ditandatangani merangkumi lima perkara iaitu perkhidmatan udara, kerjasama pertahanan, kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana, kerjasama gas asli cecair dan sektor huluan antara Petroleum Nasional Berhad (Petronas) dengan National Gas and Oil Authority (NOGA Holdings), serta kerjasama antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dengan Bahrain Chamber of Commerce & Industry (BCCI).

Perjanjian kerjasama perkhidmatan udara ditandatangani Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Hal Ehwa Luar Bahrain Shaikh Khalid bin Ahmed bin Mohamed Al Khalifa, sementara kerjasama pertahanan ditandatangani Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Leftenan Jeneral Diyab bin Saqer Alnoaimi dari Bahrain Defence Force.

Kerjasama industri dan perusahaan kecil dan sederhana pula ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Industri, Perniagaan dan Pelancongan Bahrain, Zayed R. Alzayani.

Bagi kerjasama antara Petronas dengan NOGA Holdings, ia ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Menteri Minuak Bahrain, Shaikh Mohamed bi Khalifa bin Ahmed Al Khalifa, sementara perjanjian NCCIM dengan BCCI ditandatangani Presiden NCCIM, Datuk Ter Liong Yap dan Pengerusi BCCI, Khalid Abdulrahman Khalil Almoayed.

Sebelum itu, ketibaan Raja Hamad Isa di Seri Perdana disambut Perdana Menteri dan dimulakan dengan mesyuarat delegasi Malaysia-Bahrain.

Selesai majlis menandatangani MoU, Raja Bahrain itu dan delegasinya diraikan dalam majlis makan malam rasmi di Dewan Bankuet.