Teks akhir perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) serta analisis manfaat kos kerajaan akan dibentangkan di kabinet minggu hadapan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan Bernama, ini akan membantu menghapuskan kebimbangan orang ramai terhadap perjanjian itu.

Perdana Menteri turut berkata perjanjian perdagangan itu juga mungkin ditandatangani di New Zealand pada Februari 2016.

"John Key memaklumkan kepada saya ada kemungkinan bahawa perjanjian ini ditandatangani di New Zealand pada awal bulan dua,” katanya sewaktu menghadiri Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 di Manila pada Khamis.

Tambah Najib, bukan satu perkara baru untuk orang ramai membantah perjanjian perdagangan seperti mana yang dilihat pada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan beberapa negara sebelum ini.

Tegas beliau seperti kesemua FTA sebelum ini, beliau yakin TPPA juga akan menyumbang kepada lonjakan perdagangan dua hala yang akan memanfaatkan semua pihak terlibat.

Najib menambah sebagai negara peneraju TPPA, Malaysia mempunyai kelebihan kerana berupaya membentuk hasil, terma dan syarat perjanjian itu.

"Jika kita tidak menyertai TPPA dan memutuskan untuk menyertainya bersama Indonesia selepas itu, sudah pasti sukar bagi kita menegaskan syarat-syarat berkaitan,” tambahnya.

Kata beliau, kerajaan akan terus berunding dengan pihak berkepentingan sehingga TPPA dibincangkan di parlimen Januari hadapan demi memastikan semua pihak benar-benar memahami perjanjian itu.

Selain itu Perdana Menteri yang juga menyertai Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC berkata TPPA akan turut menjadi panduan bagi pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

"TPPA dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau akan menjadi landasan bagi mewujudkan FTAAP sepertimana diingini negara anggota APEC,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai permintaan Filipina dan Indonesia untuk menyertai pakatan itu, Najib berkata kesemua 12 negara anggota TPPA menyuarakan kesediaan mereka untuk bekerjasama.

"Minat banyak negara untuk menyertai TPPA sahaja sudah cukup membuktikan bahawa Malaysia membuat keputusan tepat untuk berada dalam kumpulan rundingan dan seterusnya menikmati kelebihan sebagai negara penggerak pertama,” tegasnya.