Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengiktiraf peranan kepentingan kerjasama kukuh dan berterusan dengan rakan kongsi ke arah mencapai wawasan menjadi pengurus pelaburan kelas dunia.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, bermula dengan kerjasama Pos Malaysia Bhd pada 1982 dan didorong sambutan menggalakkan ke atas produk unit amanah, rangkaian pengedaran PNB telah dikembangkan melalui kerjasama strategik dengan beberapa bank utama di Malaysia.

Bank terlibat ialah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Bank Simpanan Nasional, Affin Bank, Alliance Bank dan AmBank.

"Hari ini dengan lebih 2,200 ejen dan 30 cawangan ASNB di seluruh negara, kami bersyukur telah mendapat faedah yang besar daripada liputan meluas produk dan perkhidmatan kami kepada semua lapisan rakyat Malaysia," katanya dalam ucapan pada 'PNB Starz Awards 2016' di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sokongan berterusan daripada semua ejen dan orgnisasi berkaitan, PNB akan meneruskan prestasi baik, walaupun ketidaktentuan ekonomi dijangka berlarutan tahun ini.

Menurutnya, diharapkan akan wujud lebih banyak kerjasama pada masa depan.

Abdul Wahid berkata, dalam mencapai wawasan agar produk unit amanahnya memenuhi keperluan semua pihak, PNB telah merumuskan Program STRIVE-15 bagi menghasilkan pulangan mampan dan konsisten kepada pemegang unit.

"Pelan ini bertujuan menangani cabaran masa kini dan akan datang dalam memastikan kemampanan prestasi untuk enam tahun akan datang dan selepasnya," katanya.

Bertemakan, 'Malam Tali Leher Hitam Anggun', anugerah itu mengiktiraf individu dan organisasi, ejen, pejabat cawangan Amanah Saham Nasional Bhd yang berprestasi tinggi serta sektor awam dan swasta berikutan sokongan dan sumbangan kepada kepada unit amanah ASNB sepanjang 20t16.

Sebanyak 57 pemenang dalam 18 kategori anugerah telah dirai dan diiktiraf.

Maybank memperoleh dua daripada tiga anugerah utama, iaitu Anugerah Pengerusi PNB dan Anugerah Presiden PNB.

Satu lagi anugerah utama, iaitu Anugerah ASNB untuk penasihat kewangan terbaik dimenangi Rosnita Ahmad daripada CIMB Bank Gleneagles, Ampang.

-- BERNAMA