Axiata Group Bhd mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam perkhidmatan CelcomPay disebabkan lonjakan transaksi yang berkaitan dengan Pokemon GO, sejak permainan maya itu diperkenalkan di negara ini.

CelcomPay merupakan kemudahan debit yang membolehkan pembelian dalam talian seperti aplikasi, video, permainan, bahan bacaan dan sebagainya di Google Play Store.

"Tiga puluh peratus daripada jualan di CelcomPay membabitkan Pokemon GO," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan/Presiden syarikat pembekal telekomunikasi itu, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, selepas taklimat mengenai keputusan suku kedua kumpulan di sini hari ini.

Pokemon GO dilancarkan di Malaysia pada 6 Ogos 2016, lebih daripada sebulan selepas diperkenalkan di Australia dan Amerika Syarikat.

Aplikasi permainan itu, di mana pemain akan berjalan di sekitar kawasan kejiranan sebenar bagi memburu watak-watak kartun maya pada telefon pintar mereka, boleh dimuat turun secara percuma dari Google Play Store dan Apple App Store.

Permainan realiti maya itu dibangunkan oleh Niantic Inc, Jepun mencetuskan "kegilaan" global sejak dilancarkan, ia memecahkan rekod sebagai permainan yang paling banyak dimuat turun dalam minggu pertama dilancarkan.

Ia mengumpulkan lebih daripada 65 juta pemain di Amerika Syarikat hanya selepas tujuh hari diperkenalkan.

Pelbagai berita, positif dan negatif mengenai Pokemon GO mendapat perhatian di seluruh negara, mencerminkan kesan 'Pikachu'.

Penganalisis pasaran dan agensi-agensi penarafan berkata fenomena Pokemon GO memberikan peluang bagi memacu pergantungan data pengguna dan ini memberi keuntungan kepada pembekal telekomunikasi (telco) seperti Celcom (operasi perniagaan Axiata di Malaysia) dan lain-lain.

"Saya tidak tahu tentang operasi di negara-negara lain, tetapi di Malaysia, benar. Ada lonjakan yang besar baru-baru ini," kata Jamaludin.

Laporan terkini juga menunjukkan bahawa bukan sahaja telco, tetapi kegilaan permainan global ini juga menawarkan pendapatan yang besar kepada peruncit.

Pokemon GO boleh menjadi alat pemasaran yang berkesan untuk peruncit memandangkan ia mampu menarik pengunjung ke pusat membeli-belah dan kedai-kedai fizikal lain, di mana pemain boleh menuntut ganjaran di 'Pokestops'.