Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) mencatatkan kerugian bersih yang rendah sebanyak RM49.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 berbanding RM141.1 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan merosot 6.1 peratus kepada RM558.5 juta.

Dalam kenyataan pada Isnin, kumpulan itu berkata perolehan segmen pos daripada produk mel dan runcit adalah sebanyak RM190.3 juta, diikuti RM178.8 juta bagi kurier.

Jelasnya, semakan semula kadar pos, berkuatkuasa 1 Feb lepas yang sejajar dengan peningkatan kos operasi dan kadar antarabangsa, menyumbang secara positif kepada perolehan segmen pos.

Kumpulan itu mencatat peningkatan perolehan bulanan sebanyak RM11 juta bagi perniagaan mel pada Februari 2020, namun jumlah mel merosot pada Mac 2020 akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, perniagaan kurier turut menyaksikan kenaikan jumlah bungkusan sebanyak 6.7 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh permintaan memberangsangkan daripada pasaran dalam talian dan e-dagang.

Katanya, segmen penerbangan menyumbang perolehan RM62.8 juta kepada kumpulan, terutamanya daripada perniagaan kargo dan pengendalian darat, manakala perolehan segmen logistik sebanyak RM75.5 juta disumbangkan khususnya oleh perniagaan pengendalian pengangkutan dan automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Syed Md Najib Syed Md Noor berkata transformasi Pos Malaysia yang sedang dilaksanakan, terus menunjukkan kemajuan dengan segmen pos mencapai keuntungan kasar lebih baik apabila syarikat mula merealisasikan manfaat daripada penambahbaikan operasi, kecekapan kos dan inisiatif perniagaannya.

"e-dagang telah dan akan terus memacu segmen kurier. Penghantaran adalah elemen utama dalam perjalanan pelanggan e-dagang, dan kami yakin automasi pusat penyusunan bungkusan dan usaha pendigitalan kami dalam menggunakan sistem kesan dan jejak yang baharu akan memberikan kami kelebihan daya saing dan meningkatkan pengalaman pelanggan," katanya.

Mengenai masa depan, kumpulan itu berkata kesan kadar semakan semula pos akan mengurangkan impak kewangan akibat kekurangan jumlah mel dan meningkatkan perolehan Pos Malaysia bagi tahun kewangan 2020.

Ia turut menjangkakan kenaikan perolehan tahunan antara RM100 juta hingga RM150 juta dalam perniagaan mel berbanding tahun sebelumnya.

Pembukaan semula perniagaan terutamanya pengendali mel pukal dan peningkatan jumlah kemasukan individu ke cawangan Pos Malaysia dijangka menambah baik perniagaan mel dan runcit kumpulan, katanya.

-- BERNAMA