Khazanah Nasional Berhad diminta untuk mempertimbangkan tambahan pelaburan dalam sektor berinovasi tinggi, sekiranya wujud barisan ahli lembaga pengarah yang baharu.

Ia merangkumi sektor mobiliti dan pengangkutan, kecerdasan buatan (AI), penjagaan kesihatan, pertanian dan sekuriti makanan serta pendidikan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menerusi sektor mobiliti dan pengangkutan, Khazanah Nasional wajar melabur dalam melengkapkan rangkaian kereta api antara bandar bagi meningkatkan kecekapan perhubungan untuk sektor perniagaan dan penumpang.

“Tanpa sistem rangkaian yang efisien, ia akan menggagalkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem aliran pengangkutan yang lestari seperti negara-negara maju,” kata beliau yang juga professor dalam bidang kejuruteraan pengangkutan.

Selain itu, perkhidmatan sistem rangkaian kereta api antara bandar juga wajar diperluas di bandar-bandar utama di luar Kuala Lumpur seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Ini kerana kadar kesesakan jalan raya luar biasa yang dialami bandar-bandar ini membuktikan satu sistem pengangkutan yang cekap perlu dibangunkan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SAS Malaysia, Sheikh Manzoor Ghazi berpendapat sektor kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan wajar diperhebat.

“Kebanyakan negara-negara Eropah menggunakan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di ekor lembu bagi mengesan kedudukan lembu terbabit dalam kawasan ladang yang luas.

“Teknologi sebegini bukan sahaja boleh digunapakai di tubuh badan haiwan malahan ia juga membantu meninjau proses tumbesaran sesuatu tanaman,” Katanya.

Kecekapan sistem ini bukan sahaja membantu memudah cara kerja, malah keuntungan yang bakal diraih oleh golongan petani dan pelopor industri ini juga akan bertambah baik.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif MERCER Malaysia, Hash Piperdy berpendapat perlu wujud penambahbaikan dalam bidang persaraan.

“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan kelestarian pelan persaraan yang mencapai standard yang lebih baik,” katanya.