Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjangka perniagaan bukan teras-nya meningkat kepada 30 peratus pada 2016 berbanding 15 peratus yang direkodkan ketika ini.

Menurut Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Azmi Abdul Aziz, syarikat itu telah pun memulakan penyusunan semula korporat bagi menyelaraskan perolehan daripada lima anak syarikatnya.

Azmi berkata, lima entiti baru yang ditubuhkan di bawah prasarana adalah Rapid Bus, Rapid Rail, Prasarana Integrated Management And Engineering (PRIME), Prasarana Integrated Development (PRIDE) Dan Prasarana Rail And Infrastructure Projects (PRAISE).

"PRIME dan PRIDE mensasarkan peningkatan hasil bukan teras kepada kumpulan. PRIDE memulakannya dengan mengewangkan aset dalam kumpulan manakala PRIME mencari peluang di luar Prasarana dan di luar negara," katanya selepas merasmikan stesen monorel AirAsia-Bukit Bintang di sini, hari ini.


Tambah Azmi, satu daripada inisiatif luar negara PRIME termasuklah kontrak tiga tahun bagi operasi dan menyelenggara Sistem Metro Al Mashaaer Al Mugaddasah di Makkah, Arab Saudi.

Tiga anak syarikat lain, Rapid Rail dan Rapid Bus dipertanggungjawabkan dengan meningkatkan bilangan pengguna.

Manakala PRAISE akan menguruskan projek masa depan seperti LRT3.