Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyatakan bahawa industri penerbangan komersial Malaysia akan kekal bertenaga dalam tahun 2018.

Melalui laporan 'Waypoint' terbitan MAVCOM, industri itu mencatatkan prestasi yang kukuh pada tahun 2017 berbanding tahun 2016, disokong oleh pertumbuhan trafik penumpang penerbangan Malaysia sebanyak 8.1 peratus pada tahun demi tahun, bersamaan dengan 99.1 juta penumpang antarabangsa dan domestik.

Bagi tahun 2018, MAVCOM menjangkakan pertumbuhan trafik menjangkau daripada 6.5 peratus kepada 7.0 peratus, di mana jumlah penumpang penerbangan di Malaysia akan melebihi 100 juta buat julung kalinya.

Laporan industri dwi-tahunan yang pertama bagi tahun 2018 yang merupakan sebahagian daripada komitmen MAVCOM untuk memupuk pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai industri penerbangan di Malaysia.

"Kami berharap laporan Waypoint ini akan memberi ruang kepada pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai peluang yang mungkin berada dalam sektor ini," kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Laporan penuh Waypoint boleh didapati di laman web suruhanjaya berkenaan.