Langkah berani kerajaan menerusi Program Transformasi Negara (NTP) sejak lapan tahun lepas telah menunjukkan keberhasilan yang amat membanggakan apabila selain berjaya memacu ekonomi negara, usaha membela kepentingan rakyat turut terus dipertingkatkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak .

Membentangkan Laporan Tahunan (NTP) 2016, Perdana Menteri berkata segala langkah yang diambil sejak 2009 ketika beliau mula mengambil alih kepimpinan negara berjaya mencetus momentum demi momentum yang meletakkan negara terus teguh berada pada landasan ekonomi yang sihat dan betul.

"Segala fakta, angka mahupun peratusan kejayaan yang dilaporkan, bukannya retorik, rekaan atau pun bak kata orang, kerajaan hanya syok sendiri.

Namun, dengan tegas ingin saya nyatakan bahawa, kesemua fakta dan maklumat ini, telah diaudit dan diabsah oleh pihak antarabangsa yang berkecuali, bertauliah lagi berwibawa," katanya pada pembentangan itu di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini malam ini.

Ucapan pembentangan selama sejam itu turut disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh semua stesen televisyen.

Perdana Menteri berkata sejak 2010, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan purata pada 5.1 peratus, satu lagi kejayaan kerana angka itu adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia.

Najib juga mengumumkan bahawa usaha kerajaan yang konsisten dalam membela rakyat telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 3.8 peratus pada tahun 2009 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014, sementara kemiskinan tegar telah hampir disifarkan kesemuanya.

Beliau berkata sehingga ini kerajaan juga telah berjaya mencapai 69 peratus atau 2.26 juta pekerjaan baharu daripada sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020, sekali gus membuktikan usaha kerajaan membuahkan hasil dan berada di landasan yang tepat.

Menurutnya pendirian kerajaan dalam melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga telah memberikan dividen yang besar kepada rakyat dan negara apabila kerajaan berupaya menampung kekurangan daripada hasil minyak melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak RM42 bilion pada tahun 2016.

"Bagaimanakah mungkin ada pihak di luar sana yang bercakap merepek dan mengarut dengan menipu rakyat kononnya kalau mereka menjadi kerajaan, GST hendak dihapuskan. Lalu saya nak bertanya, kalau begitulah sifir pembangkang, daripada hasil sumber manakah yang mereka hendak dapatkan RM42 bilion itu?

"Kata orang ''talk is cheap''...semua orang boleh berkata apa sahaja, menjanjikan itu dan ini.

"Ertinya, seandai kerajaan ini tidak cekal dan tabah, mana mungkin kita mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negara," katanya sambil menempelak rancangan pembangkang sebagai tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata yang bermatlamat semata-mata memesongkan fikiran rakyat.

Dalam pada itu, perdana menteri mengumumkan bahawa dari segi pencapaian keseluruhan, tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA serta Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) masing-masing merekodkan pencapaian purata KPI sebanyak 101 dan 110 peratus.

Beliau turut mengulangi tentang projek-projek infrastruktur yang giat dilaksanakan bagi kemudahan rakyat seperti Sambungan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan River of Life selain Projek Keretapi Laju yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam hanya tempoh 90 minit serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pengkalan Kubor, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Najib memberitahu kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak juga diberi penekanan melalui pelaksanaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dari Teluk Melano ke Lawas di Sarawak membawa ke Sabah dari Sindumin ke Tawau yang keseluruhannya sepanjang 2,325 kilometer dengan kos hampir RM30 bilion.

Menurutnya secara keseluruhan, sebanyak 11 pakej kerja di Sarawak telah dilancarkan dan lima daripada 35 pakej kerja di Sabah mula dijalankan.

Melalui NKRA Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar dari 2010 sehingga 2016, Najib berkata kerajaan membina dan menaik taraf 6,042 kilometer jalan raya luar bandar, menyediakan akses bekalan air bersih kepada lebih 350,000 buah rumah, 153,000 rumah di kawasan luar bandar disambungkan dengan khidmat bekalan elektrik serta membina dan membaik pulih hampir 100,000 rumah untuk golongan miskin luar bandar.

Bagi pembangunan golongan B40, perdana menteri berkata tahap purata pendapatan bulanan bertambah daripada RM1,847 kepada RM2,537 iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus hasil NKRA bagi Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah.

Sambil mengucap tahniah kepada Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri sertya usaha Polis DiRaja Malaysia, Najib berkata menerusi NKRA Jenayah, Indeks Jenayah berjaya dikurangkan sebanyak 47 peratus hasil pelbagai langkah yang diambil seperti meningkatkan keselamatan sempadan dan Inisiatif Kepolisan Moden.

Beliau berkata melalui usaha yang digembleng NKRA Pendidikan pula, enrolmen prasekolah kebangsaan meningkat daripada 67 peratus pada 2009 kepada 85.6 peratus pada 2016, sekali gus menghampiri tahap 100 peratus enrolmen prasekolah kebangsaan menjelang 2020.

Najib berkata menerusi pelaksanaan NTP, penglibatan wanita dalam peringkat membuat keputusan di sektor awam juga melebihi sasaran dengan kini berada pada tahap 35.8 peratus manakala di sektor swasta bagi 100 Syarikat Awam Dalam Senarai Teratas, penglibatan wanita dalam peringkat Lembaga Pengarah mencapai 16.8 peratus.

Mengenai sektor pelancongan, perdana menteri berkata tahun lepas, industri pelancongan mencatatkan kehadiran 26.7 juta pelancong yang meningkat sejuta pelancong berbanding 2015 dengan perolehan pelancongan mencatat RM82 bilion pada 2016 berbanding RM69 bilion pada 2015.

Semasa mengakhiri pembentangan laporan NTP, Najib meminta segenap lapisan rakyat supaya memberi sokongan padu untuk bersama-sama berganding bahu bagi membantu kerajaan mensejahterakan Malaysia.

"Sekali kita melangkah ke hadapan, kita tidak akan berpatah pulang dan berbalik haluan, sebaliknya, kita hanya ada satu pilihan sahaja, untuk terus maju, terus berjaya dan terus mencapai kemenangan," kata beliau.

Pembentangan laporan itu, yang diisi dengan kisah dan tayangan video memaparkan kejayaan individu hasil pelaksanaan NTP, dihadiri para pemimpin daripada 14 parti komponen BN, ahli korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta serta pelbagai lapisan masyarakat.

Perdana Menteri turut mencuit hati hadirin apabila mengalu-alukan kehadiran pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over dan penerbit filem David Teoh yang kelihatan duduk bersama, selepas terbabit dalam insiden kekecohan pada program Dialog TN50 di Seri Perdana, baru-baru ini.

"Duduk sama-sama lagi, macam ni la bagus. Ini yang saya mahu sebagai PM dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu padu, barulah Malaysia akan berjaya," kata beliau.

-- BERNAMA