Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) akan dipamerkan kepada umum bermula esok sehingga 25 Jan, 2018.

MyHSR Corp berkata laporan itu akan dipamerkan bagi tontonan umum di pelbagai lokasi, termasuk ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pejabat-pejabat negeri JAS di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, serta pejabat pihak berkuasa tempatan lain di sepanjang penjajaran KL-SG HSR.

"Orang ramai diminta untuk memberi maklum balas dan komen berdasarkan penelitian mereka terhadap laporan EIA itu ke ibu pejabat JAS sebelum 9 Feb, 2018," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian EIA itu merangkumi pelbagai penilaian, termasuk kualiti udara, bunyi dan getaran, sisa buangan, kualiti air, hidrolik pantai, ekologi laut dan darat, hidrologi, geologi, lalu lintas, penilaian risiko bahaya, kesihatan dan keselamatan awam, penilaian ekonomi dan visual.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, syarikat itu telah menggariskan langkah-langkah yang perlu untuk menangani dan meminimumkan potensi impak bagi semua fasa projek tersebut, merangkumi sebelum pembinaqan, kerja pembinaan dan operasi.

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenai dapatan laporan EIA itu dan laporan tersebut kemudiannya akan dikemas kini untuk memasukkan maklum balas yang dikumpul daripada orang ramai dan akan diserahkan kepada JAS untuk pertimbangan kelulusan," katanya.

Semasa tempoh tontonan awam itu, salinan laporan tersebut juga akan disediakan untuk dijual dengan harga RM4,000 bagi satu salinan di pejabat Minconsult Sdn Bhd.

Orang ramai juga boleh melihat laporan itu di laman web JAS di www.doe.gov.my dan laman web MyHSR Corp di www.myhsr.com.my.