Projek pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) dijangka mampu menarik pelaburan lebih daripada RM290 bilion selain akan mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata MVV yang meliputi kawasan seluas 153,000 hektar di Negeri Sembilan dan melibatkan Seremban serta Port Dickson merupakan pembangunan terancang, lestari dan inklusif.

MVV yang dibahagikan kepada lima kluster itu adalah pembangunan terancang secara berfasa sehingga tahun 2045, dan merupakan sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur di bawah Zon Potensi Pembangunan dalam Rancangan Fizikal Negara.

Ia termasuk kluster Pusat Daerah Perniagaan, Bandar Alam, Lembah Teknologi Pendidikan, Pelancongan dan Kesejahteraan serta Perbandaran Kehidupan Baru.

"MVV juga akan menyediakan rumah mampu milik membabitkan kawasan seluas kira-kira 405 hektar, selain turut menyediakan kawasan bagi kemudahan awam dan rekreasi dengan kawasan hijau melebihi 405 hektar.

"Ia juga akan mempunyai hab pengangkutan bersepadu yang berteraskan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di Labu, Negeri Sembilan, yang akan menghubungkan MVV dengan KLIA, Bandar Malaysia dan Singapura.

"Dalam pelan pelaksanaan awal di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), RM560 juta diluluskan bagi pembangunan sistem perhubungan jalan raya di kawasan MVV," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan tiga syarikat untuk meneraju pembangunan MVV di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Jauhari Hamidi; Brunsfield Development Sdn Bhd (Brunsfield) oleh Pengarah Urusannya, Tan Sri Gan Thian Leong manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. Acara itu disaksikan oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Najib berkata pembangunan MVV akan dilaksana menerusi usaha sama pintar pihak awam dan swasta dengan memberi tumpuan kepada empat pemacu pembangunan utama iaitu berteraskan pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan dan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta pengkhususan perkhidmatan.