Projek hab halal Labuan bernilai RM86 juta telah gagal mencapai matlamatnya namun akan dipulihkan semula bagi memastikan daya saingnya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata pelan bagi tujuan itu tidak akan melibatkan pembiayaan kerajaan memandangkan pelabur baharu telah menunjukkan minat untuk melabur dalam pembangunan hab halal berkenaan.

"Saya telah melawat Kompleks Hab Halal Labuan, malangnya projek itu seolah-olah dilaksanakan tanpa perancangan dan hala tuju yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ulang tahun ke-100 Hari Peringatan anjuran Perbadanan Labuan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata tiada sebarang aktiviti perniagaan dalam bidang halal dijalankan di kompleks itu walaupun sepatutnya ia menempatkan kilang pengeluaran produk halal.

"Kita dimaklumkan bahawa kemudahan itu tidak dapat digunakan kerana ia dibina tanpa mengikut spesifikasi reka bentuk walaupun sejumlah besar wang telah dibelanjakan.

"Sangat malang, ini seolah-olah kelihatan seperti cara pemikiran lepas; mereka melaksanakan projek, dan mendapat wang serta komisyen, namun jika projek gagal, ia tidak begitu penting.

"Sekarang kita menjalankan tugas kita untuk memulihkan semula hab halal Labuan dan mengenal pasti penyelesaian yang lebih baik, jadi kita dapat menggabungkan konsep hab halal sebenar dan mempunyai peserta baharu melabur di kompleks ini untuk kilang dan produk halal mereka," katanya.

Akhbar tempatan telah melaporkan bahawa Kompleks Hab Halal Labuan berdepan risiko diisytiharkan projek "gajah putih" disebabkan kegagalannya menarik pelabur.

Ia, yang dibina di kawasan seluas 7.28 hektar di Kiansam, terdiri daripada bangunan pejabat, kompleks gudang dan kilang pemprosesan, namun peserta industri mendakwa gudang tersebut dibina tanpa mengikut spesifikasi.

Walaupun matlamat utamanya untuk merangsang dan menggalakkan pertumbuhan industri halal di negara ini menerusi penyediaan perkhidmatan pergudangan, penyimpanan dan pengedaran halal dari Sabah, Sarawak dan luar negara, namun tiada pengeluar produk halal beroperasi di kompleks itu.

Projek yang diwujudkan oleh kerjasama Perbadanan Labuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan itu telah diuruskan oleh Labuan Halal Hub Sdn Bhd sejak 11 Nov, 2011.

Majlis pecah tanah kompleks itu dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009.

Fasa pertama projek itu siap pada 2012 selepas Laporan Ketua Audit Negara 2011 mempersoalkan pengurusan projek.

Laporan tersebut juga menyatakan bangunan hab halal itu kekal tidak beroperasi dan mengesyorkan Perbadanan Labuan supaya melantik pengarah syarikat berkelayakan dan pengurus peringkat tinggi dengan pengalaman perniagaan luas untuk memastikan operasi yang cekap.

-- BERNAMA