Berita  |  Bisnes

Promosi tiga juta tempat duduk percuma AirAsia kini kembali

Promosi tiga juta tempat duduk  percuma AirAsia kini kembali
Tawaran tempat duduk percuma itu merupakan peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan orang ramai untuk merancang jadual percutian mereka bagi tahun depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia kini menawarkan kembali promosi kira-kira tiga juta tempat duduk percuma bagi kempen terbaharu untuk tempoh perjalanan antara 15 Jan-28 Ogos, 2018.

Tempahan yang boleh dibuat mulai hari ini sehingga 11 Jun, 2017, membolehkan pelanggan menikmati tambang serendah RM0 ke destinasi-destinasi termasuk dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, Pulau Pinang dan Surat Thani, dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Singapura serta dari Johor Bahru ke Terengganu.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Siegtraund Teh berkata tawaran tempat duduk percuma itu merupakan peluang terbaik yang perlu dimanfaatkan orang ramai untuk merancang jadual percutian mereka bagi tahun depan.
"Menerusi tawaran ke pelbagai destinasi menarik itu, ia amat sesuai dijadikan peluang untuk mereka bercuti panjang atau singkat pada hujung minggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penumpang yang menaiki AirAsia X juga berpeluang menikmati tambang serendah RM199 bagi destinasi Kuala Lumpur ke Perth dan Chongqing selain dapat menggunakan kemudahan katil rata premium yang mendapat anugerah, untuk destinasi dari Kuala Lumpur ke Beijing, Shanghai, Osaka, Busan, Auckland, Gold Coast dan destinasi lain pada tambang hanya RM899.

Malah tawaran kemudahan katil rata di bawah ''The Premium Flatbed'' serta ''Premium Flex'' itu turut disertakan dengan insurans perjalanan bagi semua penerbangan terus dari Malaysia ke Thailand.

Pemegang kad prabayar BIG AirAsia boleh membuat tempahan di airasia.com, AirAsiaGo dan AirAsia Expedia manakala pemegang akaun Citibank di Malaysia pula akan mendapat tawaran eksklusif yang mana 100 tempahan pertama harian dengan Kad AirAsia-Citi berpeluang menerima hadiah baucar elektronik RM50 AirAsia.

-- BERNAMA