Kereta Proton yang terjual dan didaftarkan dari 16 hingga 31 Mei tahun ini akan menerima baucer servis dengan nilai bersamaan perbezaan harga antara kereta semasa dan baharu selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Dalam kenyataan hari ini, Proton Holdings Bhd berkata ia dilaksanakan untuk menawarkan skim harga interim kepada pengguna bagi memastikan setiap pembeli mendapat manfaat daripada perubahan itu.

"Proton menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Walaupun GST berkadar sifar hanya akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini, namun kami memutuskan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami serta merta sebagai penghargaan atas sokongan mereka dan menepati semangat sempena Ramadan," menurut Proton.

-- BERNAMA