Proton pada Khamis memberi jaminan kereta keluarannya memenuhi piawaian keselamatan kawal selia di semua pasaran operasinya, terutama Malaysia.

"Proton telah menguji banyak keretanya di seluruh dunia seperti di Australia dan sebelum ini di Eropah.

"Syarikat juga telah mendapatkan perkhidmatan agensi berkelas dunia dan makmal ujian untuk memastikan ujian dan keputusan yang ketat," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembuat kenderaan itu berkata ia akan meneruskan usaha untuk meningkatkan produk dan perkhidmatannya serta membuat penambahbaikan mengikut keperluan.

Proton berkata prosedur biasa agensi tersebut akan memberitahu dan melaporkan secara sebenar-benarnya kepada syarikat jika berlaku kepincangan, kerosakan atau kegagalan elemen, sebelum sebarang kenyataan awam diterbitkan berhubung kereta yang diuji.

Proton mengulas mengenai dakwaan oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) berhubung "pelanggaran spesifikasi keselamatan" oleh pengeluar kereta tempatan.

"Bagi hal ini, kami akan berjumpa ASEAN NCAP mengenai perkara itu memandangkan kami tidak diberitahu secara rasmi. Justeru itu, kami tidak dapat mengesahkan atau menafikan perkara berkenaan," menurut Proton.