Model Saga, Persona dan Ertiga mencatatkan jualan paling laris bagi kereta Proton tahun lepas dengan mewakili 80 peratus daripada jumlah jualan.

Proton Saga mencatatkan jualan yang kukuh melebihi 30,000 unit diikuti Persona dengan 19,510 unit dijual dan Ertiga 6,091 unit pada 2017.

Walaupun jumlah jualan keseluruhan pada 2017 sebanyak 70,991 unit berbanding 72,291 unit pada tahun lepas, PROTON berjaya menstabilkan jualannya.

"Antara sebab yang menjadikan jualan kereta kami stabil pada 2017 adalah kerana usaha peningkatan kualiti yang agresif yang dilakukan di peringkat dalaman,

“Rakan kongsi kami daripada Geely Auto melakukan pemeriksaan audit kualiti yang ketat pada kereta Proton dan dalam masa 2 bulan, kami dapat meningkatkan poin kualiti kami sebanyak tiga kali ganda,” kata PROTON dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, jumlah keseluruhan bagaimanapun terjejas oleh jualan flit yang kurang memberangsangkan dengan jualan 2,807 unit pada 2017 akibat permintaan teksi yang rendah.

Tahun ini merupakan tahun kritikal buat PROTON memandangkan mereka akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sejajar dengan Rancangan Perniagaan 3 hingga 10 tahun yang baharu, yakni kunci kepada pemulihan Syarikat.

”Demi meningkatkan jumlah jualan, kami akan mengambil mengambil langkah-langkah yang perlu melalui kempen yang lebih menarik untuk pengguna, dan peningkatan kualiti dari segi produk serta perkhidmatan,” katanya.