Kehadiran Qatar Holding LLC, antara pelabur terbesar dunia, di Malaysia melalui pelaburan dalam projek Hotel Harrods Kuala Lumpur, membuktikan negara kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata senario positif kemasukan pelabur asing itu juga membuktikan inisiatif kerajaan melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk memacu transformasi ekonomi negara menunjukkan prestasi yang baik.

"Sebagai contohnya bila ada pelabur asing dari Qatar ini yang memang bukan hanya pelabur besar di Malaysia malah di serata dunia seperti di London, ia memberi satu petanda yang baik kepada negara kita.

"Kehadiran mereka (pelabur asing dari Qatar), yang merupakan antara pelabur terbesar di dunia ini juga mampu menjadi seumpama 'iklan' dan tarikan kepada pelabur lain untuk turut melabur di negara ini," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan majlis pecah tanah Hotel Harrods Kuala Lumpur, di sini, Selasa.

Hotel berkenaan, yang akan menjadi hotel mewah pertama seumpamanya dibina di Asia merupakan hasil pelaburan Qatar Holding LLC, yang memiliki jenama mewah bertaraf dunia, Harrods dan pemaju hartanah Jerantas Sdn Bhd.