KUALA LUMPUR:Belanjawan 2021 akan lebih menjuruskan kepada belanjawan pengembangan walaupun pada skala yang rendah, kata RHB Research.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan defisit fiskal pada 5.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 daripada 6.5 peratus pada 2020, seiring dengan keperluan untuk pengukuhan fiskal.

"Kerajaan telah menyatakan bahawa ia kini sedang meninjau untuk melebarkan asas cukai dengan semua kemungkinan akan dipertimbangkan, iaitu memperluaskan asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), keuntungan modal atau cukai karbon dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Bagaimanapun, memandangkan momentum ekonomi yang lemah, kemungkinan langkah-langkah berkenaan akan dilaksanakan kemudian. Kami juga berpendapat "cukai dosa" tidak akan dinaikkan ataupun cukai keuntungan luar biasa akan dikenakan ke atas saham sarung tangan dalam Belanjawan 2021," katanya dalam satu nota hari ini.

Perbelanjaan ke atas bantuan sosial dijangka kekal signifikan, katanya sambil menambah pemberian tunai dan sokongan bersasar terhadap sektor pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana mungkin berterusan sehingga separuh pertama 2021.

Mengenai pasaran hartanah pula, firma penyelidikan itu menjangkakan kerajaan akan mengekalkan langkah-langkah kelonggaran semasa untuk pasaran dengan kemungkinan menurunkan lagi Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).

-- BERNAMA