Ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar US pada pembukaan pagi ini ekoran dolar kembali mengukuh susulan perkembangan positif dalam rundingan perdagangan Amerika Syarikat (US) dan China, kata peniaga.

Pada 9.01 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1410/1450 berbanding 4.1410/1440 pada penutupan semalam.

Peniaga berkata ekoran pengukuhan ringgit baru-baru ini, pelabur kini mengambil pendirian tunggu dan lihat bagi menyaksikan tindak balas pasaran.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0550/0590 daripada 3.0552/0585, tinggi berbanding pound British kepada 5.4284/4353 daripada 5.4636/4693 serta tinggi berbanding euro kepada 4.6160/6208 daripada 4.6168/6218 semalam.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7807/7854 daripada 3.7773/7810 pada Selasa.

-- BERNAMA