Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini susulan sentimen positif ke atas nota tempatan, didorong oleh lebihan dagangan yang kukuh selain unjuran kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia tahun ini.

Pada 9 pagi, ringgit mencatatkan 3.9880/9930 berbanding dolar US daripada 3.9950/9000 Jumaat lepas.

Dalam notanya, RHB Research berkata ringgit mengukuh sebanyak 1.7 peratus kepada RM3.9985 bagi setiap dolar AS pada minggu pertama Januari 2018, selepas meningkat 0.6 peratus pada Disember 2017.

"Pengukuhan ringgit berkemungkinan besar disebabkan oleh lebihan dagangan yang kukuh, serta harga minyak yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut. Ini disusuli unjuran kenaikan OPR oleh bank pusat pada tahun ini.

"Bagi setahun penuh 2017, ringgit mengukuh 9.5 peratus, selepas susut nilai sebanyak 4.5 peratus pada 2016," katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangka ringgit meningkat secara berperingkat hingga RM3.95 berbanding dolar US pada akhir 2018 berbanding RM4.062 pada akhir 2017, didorong oleh lebihan akaun semasa.

RHB Research berkata dolar US berkemungkinan menyusut berikutan jangkaan euro yang lebih kukuh apabila Bank Sentral Eropah melaksanakan pelonggaran kuantitatif yang seterusnya mencadangkan bahawa mata wang pesat membangun seperti ringgit boleh mengukuh berbanding dolar US pada 2018.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0062/0102 daripada 3.0081/0123 Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen kepada 3.5258/5311 daripada 3.5279/5333.

Ringgit lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8027/8092 daripada 4.8116/8192 namun rendah berbanding pound British kepada 5.4121/4205 daripada 5.4048/4132 sebelumnya.

-- BERNAMA