Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini selari dengan mata wang serantau berikutan pelabur yakin perbincangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan membuahkan hasil positif, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0650/0700 berbanding dolar US daripada 4.0770/0800 semasa ditutup pada 6 petang semalam.

Peniaga berkata berikutan Presiden AS Donald Trump bersikap terbuka untuk melanjutkan tarikh akhir 1 Mac bagi perdamaian perdagangannya dengan China, ini memberi isyarat kedua-dua negara mungkin menyelesaikan perang perdagangan mereka.

"Ini memberi isyarat positif kepada pelabur dan sejak pengumuman itu, momentum pasaran meneruskan aliran meningkat, dan kami berharap ini akan berterusan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd Julia Goh berkata dalam waktu terdekat, ringgit kemungkinan besar akan disokong oleh pemacu pertumbuhan domestik kukuh, pembaharuan dasar secara beransur-ansur dan pengekalan lebihan akaun semasa.

"Mata wang tempatan kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau, dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan perlindungan selamat berikutan beberapa pilihan raya serantau akan diadakan pada separuh pertama 2019," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang asing utama yang lain.

Ia diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura pada 2.9971/0013 berbanding 3.0004/0031 semalam dan naik berbanding yen kepada 3.6774/6829 daripada 3.6876/6913.

Ia susut berbanding euro kepada 4.6056/6129 daripada 4.5960/6010 dan turun berbanding pound British kepada 5.2410/2495 daripada 5.2369/2428 pada Selasa.

-- BERNAMA