Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila minat belian terhadap mata wang tempatan itu pulih menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP), kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1600/1650 berbanding dolar AS daripada 4.1615/1655 pada Selasa.

Peniaga itu berkata, bagaimanapun, sentimen risiko global yang meningkat ditambah dengan penurunan harga minyak mentah dan pengumuman Bajet 2019 yang akan datang, akan terus menyebabkan ringgit diniagakan dalam suasana defensif.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0184/0225 daripada 3.0206/0237 pada Selasa dan berbanding yen Jepun ia naik kepada 3.6988/7042 daripada 3.7050/7103.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3997/4078 daripada 5.4075/4139 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7711/7773 daripada 4.7782/7841.

-- BERNAMA