Ringgit dijangka kembali ke bawah paras RM4.00 berbanding dolar Amerika pada 2018.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Global, Shan Saeed menjangka matawang tempatan akan diniaga sekitar RM3.75-4.25/USD tahun hadapan.

“Ini kerana dolar Amerika dijangka melemah sekitar 3 hingga 5 peratus. Selain itu, ringgit juga akan disokong oleh kenaikan harga minyak, serta jangkaan kemasukan pelaburan dari China kerana Malaysia memainkan peranan penting dalam inisiatif ‘Belt and Road’ negara itu,” kata Shan.

Beliau berkata, jangkaan bila Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan turut meningkatkan permintaan terhadap matawang tempatan.

“Setiap kali pilihan raya umum diadakan, permintaan untuk ringgit akan meningkat. Sama seperti tahun ini, kami jangkakan banyak aktiviti bagi ringgit pada 2018,” katanya.

Ekonomi negara secara keseluruhannya akan turut mengalami pertumbuhan lebih tinggi tahun hadapan, katanya.

“Kami menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan mengalami pertumbuhan antara 4.9 ke 5.4 peratus pada 2018."

Ini ekoran keyakinan pelabur yang lebih tinggi terhadap ekonomi, kestabilan politik dan ekonomi, permintaan domestik yang tinggi serta pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang dilakukan tahun ini, tambahnya.