Ringgit meneruskan aliran harga meningkat untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh 10 bulan pada 4.2080/2110 berbanding dolar AS pada 4.2370/2400, ketika data ekonomi domestik mencatatkan angka yang kondusif dan menggalakkan.

Sejak pasaran tukaran mata wang asing kembali beroperasi pada Selasa selepas cuti yang panjang, unit tempatan itu meningkat 290 mata asas.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada paras 3.00 peratus sejak 13 Julai, 2016, pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata pasaran kewangan domestik berdaya tahan dan ringgit mengukuh, sekali gus mencerminkan asas ekonomi yang lebih baik.

Rizab antarabangsa Malaysia juga meningkat kepada US$100.5 bilion (RM431.7 bilion) pada 30 Ogos, 2017, berbanding US$100.4 bilion (RM431.0 bilion) pada 15 Ogos 2017.

Ketua pedagang OANDA Asia-Pacific Trading Stephen Innes berkata ringgit semakin mengukuh.

"Ia beralih daripada kedudukan mata wang yang stabil kepada kukuh. Angka eksport yang semakin tinggi sudah nyata merupakan petunjuk bahawa ekonomi yang baik dan pada masa yang sama harga minyak yang mengukuh turut memberi rangsangan kepada prestasi ringgit," kata Innes kepada Bernama, dan menambah beliau menjangkakan nota tempatan itu akan mencecah paras RM4.20 bagi satu dolar.

Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1286/1320 daripada 3.1336/1368 pada Rabu, tinggi berbanding yen kepada 3.8645/8683 daripada 3.8950/8989 sebelumnya.

Unit tempatan juga tinggi berbanding euro kepada 5.0408/0456 daripada 5.0560/0613 pada penutup Rabu dan berbanding pound, ia mengukuh kepada 5.5011/5055 daripada 5.5204/5247.

-- BERNAMA