Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan mata wang negara serantau didorong jangkaan terhadap hasil positif daripada pertemuan presiden AS dan China.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada 4.1420/1460 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata kebanyakan mata wang serantau, yang menyaksikan perubahan minat ketara, dijangka mengalami kenaikan kecil pada suku kedua, namun bergantung kepada perkembangan perang perdagangan AS-China dan langkah pelonggaran dasar monetari.

"Mesyuarat antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Sabtu ini membawa kepentingan besar sebagai petunjuk sama ada prospek ekonomi global akan positif atau sebaliknya," katanya.

Semasa pasaran ditutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0520/0568 daripada 3.0573/0620 pada Khamis serta meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8354/8412 daripada 3.8420/8446.

Ringgit kukuh berbanding pound kepada 5.2352/2419 daripada 5.2649/2716 semalam dan pada masa sama stabil berbanding euro kepada 4.7012/7085 daripada 4.7115/7165.

-- BERNAMA