Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar US susulan aktiviti belian terhadap unit tempatan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan langkah menstabilkan mata wang itu yang berkuat kuasa hari ini, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.4470/4500 berbanding dolar US daripada 4.4500/4550 pada Jumaat lepas.

Awal hari ini, ringgit disebut harga pada paras 4.4470 berbanding dolar US.

Menurut peniaga, langkah BNM yang diumumkan pada Jumaat itu ternyata membantu menyuntik keyakinan pelabur dan berharap aliran peningkatan ringgit berkenaan akan berterusan.

Langkah itu bertujuan melonjakkan mudah tunai serta merangsang lebih banyak dagangan ringgit di peringkat domestik.

Ia juga membenarkan pengeksport mengekalkan hanya 25 peratus perolehan eksport dalam mata wang asing berbanding 100 peratus sebelum ini manakala baki lebih tinggi perlu mendapatkan kelulusan BNM.

Selain itu, berbanding kelompok mata wang asing, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi, kecuali pound British yang menyaksikannya susut kepada 5.6486/6542 daripada 5.6057/6137 pada Jumaat.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1207/1232 daripada 3.1274/1327 dan tinggi berbanding yen kepada 3.8934/8987 daripada 3.9128/9179.

Berbanding euro, ringgit juga naik kepada 4.7285/7321 daripada 4.7375/7432, sebelum ini. -- Bernama