Ringgit naik ke paras tertinggi dalam 14 bulan berbanding dolar Amerika hari ini dengan sokongan berterusan daripada sentimen tempatan yang positif, kata para peniaga.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan ditutupr pada 4.1100/1130 berbanding dolar daripada 4.1380/1420 yang dicatatkan pada Selasa.

Seorang peniaga berkata ringgit disokong oleh unjuran Bank Negara Malaysia akan menaikkan kadar dasar semalaman setelah pertumbuhan kukuh ekonomi negara pada 6.2 peratus yang dicatatkan pada suku ketiga tahun ini.

"Ringgit juga antara mata wang yang mendahului bagi mata wang pasaran pesat membangun setelah mata wang Asia terus mengukuh disokong oleh kelemahan dolar AS dan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Janet Yellen yang memihak kepada kadar faedah rendah," katanya.

Beliau berkata langkah mengetatkan kadar faedah dengan pantas juga berisiko menjadikan inflasi di bawah sasaran Rizab Persekutuan pada dua peratus.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0393/0417 daripada 3.0525/0568 yang dicatatkan semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8317/8357 daripada 4.8526/8586 pada Selasa.

Ringgit tinggi berbanding pound kepada 5.4453/4505 daripada 5.4779/4836 pada Selasa dan meningkat berbanding yen kepada 3.6667/6697 daripada 3.6805/6844 yang dicatatkan semalam.

-- BERNAMA