Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$104.7 bilion setakat 29 Jun 2018 berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun 2018.

Rizab itu turut mengambil kira pelarasan akaun suku tahunan untuk perubahan penilaian semula pertukaran wang asing susulan pengukuhan ringgit terhadap dolar AS berbanding pelbagai aset rizab mata wang asing yang dipegang BNM.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata kedudukan rizab itu memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$98.3 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.9 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR AS$1.2 bilion), emas (AS$1.5 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).

Aset itu termasuk emas dan pertukaran asing, termasuk SDR (RM423.38 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.39 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM202.27 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM7.25 bilion), tanah dan bangunan (RM4.17 bilion) dan aset-aset lain (RM9.95 bilion).

-- BERNAMA