Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$95.0 bilion (bersamaan dengan RM426.0 bilion) sehingga pada 31 Jan, 2017 daripada US$94.3 bilion yang dicatatkan pada 13 Jan, 2017.

Paras rizab berkenaan memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.3 kali hutang luar negeri jangka pendek, menurut BNM dalam kenyataan di sini hari ini.

Bank Pusat itu telah meningkatkan rizabnya selama beberapa tahun sejak kerugian pertukaran asing pada 1992/1993 dan krisis kewangan Asia pada 1998.

Pada 1992, rizab BNM hanya sebanyak US$18.1 bilion, dan meningkat secara beransur-ansur kepada US$27.7 bilion sebelum susut semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997 kepada US$15.2 bilion.

Bagaimanapun, BNM berjaya meningkatkannya kepada US$101.3 bilion pada 2007, sebelum turun kepada US$91.4 bilion semasa krisis kewangan pada 2008.

Pada 2009, rizab BNM berjumlah US$96.7 bilion, US$106.5 bilion (2010), US$133.6 bilion (2011), US$139.7 bilion (2012), US$134.9 bilion (2013), US$116.4 bilion (2014), US$95.3 bilion (2015) dan US$94.6 bilion (2016).

Secara keseluruhannya, paras rizab BNM kini jauh lebih baik berbanding pada 1992 atau semasa Krisis Kewangan Asia.

-- BERNAMA