Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$102.4 bilion pada 29 Dis 2017 berbanding dengan AS$94.5 bilion pada akhir 2016, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan.

"Paras rizab pada 29 Dis 2017 telah mengambil kira pelarasan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing. Paras rizab disokong oleh lebihan akaun semasa yang lebih besar dan aliran masuk pelaburan langsung asing yang berterusan.

"Bagaimanapun, ini sebahagiannya telah diimbangi oleh pelaburan langsung daripada syarikat Malaysia dan pelaburan portfolio pelabur institusi pemastautin di luar negeri," kata bank pusat.

Tambah BNM, rizab antarabangsa itu mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa serta memadai untuk membiayai 7.2 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.