RIZAB Persekutuan Amerika Syarikat, menerusi ucapan pengerusinya, Janet Yellen membayangkan akan berlaku kenaikan kadar faedah di negara itu dalam masa terdekat.

Menurut agensi kaji selidik MIDF, Yellen dalam ucapannya di Jackson Hole menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran pekerjaan Amerika akan semakin positif.

Tambah Yellen, inflasi dijangka mencapai sasaran dua peratus dan Rizab Persekutuan terus komited kepada kenaikan kadar faedah secara berperingkat.

Rizab Persekutuan AS sebelum ini membayangkan akan berlaku beberapa siri kenaikan kadar faedah tahun ini.

Namun, ia mengambil keputusan untuk menangguh kenaikan kadar tersebut sejak kali terakhir kenaikan pada Disember.

Rizab Persekutuan dijangka bermesyuarat pada 20-21 September ini.

Antara faktor yang dijangka akan mempengaruhi pasaran termasuk data pekerjaan untuk bulan Ogos yang akan diumumkan pada Jumaat ini.

Sebelum ini matawang Asia termasuk ringgit Malaysia mengukuh, dipengaruhi harga minyak dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

Menjelang jangkaan kenaikan kadar faedah, pelabur akan mengeluarkan pegangan dalam pasaran Asia dan membeli matawang dolar yang dijangka mengukuh.