Rizab simpanan negara terus menunjukkan aliran peningkatan iaitu kepada RM432.7 bilion berbanding RM419.6 bilion tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata jumlah terbaharu itu adalah memadai bagi membiayai import tertangguh selama 7.6 bulan, selain 1.1 kali jumlah hutang negara bagi tempoh jangka pendek.

Ujarnya, pada tahun lalu, rizab simpanan negara cukup untuk membiayai import tertangguh selama 7.4 bulan, selain hanya sekali jumlah hutang luar negara bagi jangka pendek.

“Pada 2018, jumlah hasil Kerajaan Persekutuan adalah RM232.9 bilion, manakala bagi perbelanjaan kerajaan pula sebanyak RM287.1 bilion.

“Ini merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM231 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM56.1 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Jonathan Yasin (PH-Ranau) mengenai simpanan rizab negara, jumlah pendapatan dan perbelanjaan negara tahun lalu.

Menjawab berkenaan usaha kerajaan menambahkan pendapatan baharu bagi mengurangkan hutang negara, Guan Eng berkata, hutang langsung negara hanya dapat dikurangkan jika kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan mempunyai lebihan selepas menampung perbelanjaan pembangunan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan berjaya mengurangkan hutang langsung daripada RM95.9 bilion pada tahun 1993 kepada RM9.9 bilion pada 1997 berikutan lebihan fiskal dalam kedudukan kewangan tahunan negara.

“Lebihan ini akan digunakan untuk membiayai hutang langsung dan kerajaan tidak perlu membuat pinjaman,” katanya.

“Walaupun kedudukan hutang langsung meningkat, tetapi komitmen hutang jika diteliti secara keseluruhannya adalah menurun berbanding peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

“Jika kita lihat kedudukan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun berjumlah RM799.1 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK, tetapi masih kekal di bawah paras 55 peratus yang ditetapkan,” katanya lagi.