Sebanyak RM141 bilion pelaburan asing telah diluluskan bagi sektor perkilangan dari tahun 2013 hingga 2017.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata ia merangkumi sebanyak RM30 bilion pada 2013; RM39.6 bilion (2014); RM21.9 bilion (2015); RM27.4 bilion (2016); dan RM21.6 bilion (2017).

"Jumlah tersebut melibatkan 1,801 projek yang dijangka mampu menjana 222,000 peluang pekerjaan apabila semua projek itu dilaksanakan sepenuhnya.

"Antara negara utama yang telah melabur dalam sektor perkilangan dalam tempoh ini ialah Jepun, Singapura, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Jerman," katanya menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Dewan Rakyat hari ini.

Liang ingin mengetahui jumlah kemasukan pelaburan langsung asing mengikut tahun 2013 hingga 2017 dan faktor serta strategi yang diguna pakai oleh kerajaan dalam membawa masuk pelaburan luar.

Chua berkata kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menyediakan iklim pelaburan yang lebih menarik dan kondusif bagi menggalakkan pelaburan termasuk pelaburan asing.

Antara langkah yang diambil adalah menambah baik dasar semasa termasuk meliberalisasikan dasar-dasar berkaitan pelaburan bagi menggalakkan pelaburan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Chua berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan rangkaian pejabat kementerian di Amerika Syarikat dan China dalam memantau dan mencari penyelesaian atas ketegangan perdagangan antara Amerika dan China yang sedang berlaku kini.

"Malaysia faham Amerika dan China merupakan pasaran penting kepada negara. Perkembangan ini bukan sahaja akan memberi impak negatif dari segi perdagangan kepada Malaysia malahan kepada negara-negara lain yang terlibat dalam import dan eksport barangan.

"Oleh itu Malaysia juga bersama negara ASEAN yang lain akan memainkan peranan dalam melihat dan mengatasi situasi ini," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (BEBAS-Bandar Tun Razak) mengenai langkah kerajaan dalam menghadapi ketegangan perdagangan antara China dan Amerika ekoran keputusan Amerika mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium dari beberapa negara termasuk China.

-- BERNAMA