Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan pemberian kepada setiap negeri berjumlah RM8.16 bilion bagi 2018, kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Perkara itu dipersetujui sewaktu mesyuarat Majlis Kewangan negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

"Majlis Kewangan Negara bersetuju supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri (KWRN) tahun 2020 sebanyak RM430 juta.

"Untuk rekod jumlah caruman yang telah diluluskan untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM290 juta dan tahun 2018 (RM330 juta)," kata kenyataan itu.

Turut menyertai mesyuarat itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan semua menteri-menteri besar serta ketua-ketua menteri.

Menurut kenyataan itu lagi, peruntukan dana kepada KWRN untuk tahun 2020 tersebut adalah untuk membiayai anggaran Pemberian Kepada Negeri-negeri Yang Menghadapi Kekurangan Wang Dalam Akaun Mengurus (Pemberian Defisit) sebanyak RM150 juta.

"Kelulusan peruntukan RM430 juta perlu dipohon dua tahun lebih awal kerana Mesyuarat Majlis Kewangan Negara diadakan setahun sekali, dan supaya jumlah tersebut dapat diambil kira dalam penyediaan Bajet Persekutuan tahun berkenaan.

"Ini bagi memastikan dana KWRN berada pada paras mencukupi dan tersedia untuk membantu negeri-negeri yang menghadapi masalah defisit dan kewangan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, bagi tahun 2017, negeri yang menerima Pemberian Defisit ini adalah Kelantan sebanyak RM54.8 juta dan Perlis berjumlah RM38.4 juta.

Sementara itu, baki caruman sebanyak RM280 juta adalah untuk membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

Pemberian tersebut bagi membantu negeri-negeri meningkatkan perbelanjaan pembangunan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara.

Pada tahun 2018, Pemberian TAHAP telah dibayar kepada tujuh negeri iaitu Kedah sebanyak RM24.4 juta, Kelantan (RM28.5 juta), Sarawak (RM23.8 juta), Terengganu (RM 27.7 juta), Perlis (RM23.3 juta), Pulau Pinang (RM13.5 juta) dan Perak (RM21 juta).

"Pemberian kepada negeri-negeri lain akan dibayar setelah tuntutan diterima daripada mereka oleh Kementerian Kewangan," kata kenyataan itu.