Ketua Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew, diumum akan kembali berkhidmat dengan Ryanair sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Portal berita Irish Times melaporkan, kepulangan Bellew ke syarikat penerbangan itu berikutan pengunduran COO Michael Hickey dan perancangan Ryanair untuk membatalkan semua penerbangannya sehingga Mac tahun hadapan.

Pelantikan itu adalah rentetan masalah jadual kerja bagi juruterbang syarikat Ryanair yang berlanjutan, hingga menjejaskan jadual penerbangan.

Berhubung pelantikannya di Ryanair, seperti yang dilaporkan Irish Times, Bellew dipetik sebagai berkata: “Saya teruja untuk kembali ke Ryanair untuk mendepani cabaran mengembangkan operasi secara mapan.

“Saya tidak sabar untuk kembali bertugas dengan pasukan dan kru yang saya kenali, dalam usaha mengembangkan operasi syarikat kepada 600 pesawat dalam tempoh enam tahun.”

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, pihaknya maklum tentang 'pengumuman yang tidak dijangka' daripada Ryanair tersebut, dan ahli lembaga pengarahnya akan bermesyuarat untuk membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan.

"Dalam sidang media pada 27 September 2017, Bellew telah menzahirkan komitmen beliau dengan Malaysia Airlines apabila ditanya tentang spekulasi bahawa beliau akan menyertai semula Ryanair.

"Bellew berkata, beliau gembira bersama Malaysia Airlines dan pemulihan Malaysia Airlines akan menjadi 'pencapaian terhebat dalam hidup saya'," kata kenyataan itu.

Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Bellew bertugas sebagai Pengarah Operasi Penerbangan Ryanair sehingga 2014.