Standard & Poor's Ratings Services (S&P) mengesahkan penarafan kredit negara mata wang asing jangka panjang 'A-' dan jangka pendek 'A-2' terhadap Malaysia serta penarafan jangka panjang 'A' dan jangka pendek 'A-1' bagi ringgit.

Prospek bagi penarafan jangka panjang kekal stabil, demikian menurut S&P dalam satu kenyataan, dan menambah ia juga mengesahkan penarafan skala rantau ASEAN 'axAAA/axA-1+' bagi Malaysia.

S&P berkata penarafan kredit negara terhadap Malaysia mencerminkan kedudukan luar negara Malaysia yang kukuh dan fleksibiliti kewangan yang besar, dan kekuatan ini mengatasi kewangan awam negara yang kurang kukuh.

Semasa mengesahkan penarafan ini, ia berkata dakwaan berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan menjejaskan keupayaan cabang eksekutif untuk meningkatkan kewangan awam yang mampan dan pertumbuhan ekonomi yang seimbang.

"Begitu juga, kami menjangka kredibiliti dasar kewangan dan kebebasan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan terjejas dengan persaraan Gabenor Dr Zeti Akhtar Aziz pada April," katanya.

Sementara itu, kedudukan luar Malaysia hasil daripada beberapa tahun lebihan akaun semasa, adalah kekuatan utama penarafan yang S&P percaya boleh bertahan dengan kelembapan sektor minyak dan gas dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Andaian kami bagi harga minyak Brent setong (bbl) ialah US$40 untuk baki 2016, US$45/bbl pada 2017, dan US$50/bbl selepas itu," katanya.

S&P menjangka petunjuk luar Malaysia kekal tidak berubah, memandangkan unjurannya bahawa akaun semasa Malaysia akan terus berada dalam lebihan.

Bagi 2016, katanya, kejatuhan nilai ringgit seharusnya membantu daya saing eksport barangan perkilangan, mengimbangi beberapa kelemahan perdagangan bagi eksport tenaga Malaysia.

Ia juga menganggarkan hutang bersih kerajaan meningkat pada kira-kira 49 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2015 tetapi akan merosot secara sederhana setelah pertumbuhan kekal memberangsangkan.

Ia berkata kedudukan fiskal kerajaan Malaysia juga mempunyai risiko luar jangka daripada sektor kewangan dan perusahaan awam "tidak menjangka liabiliti luar jangka perusahaan awam yang lemah memberi kesan ketara ke atas lembaran imbangan kerajaan pusat".

Walaupun hutang isi rumah Malaysia yang tinggi memberi beberapa risiko, S&P yakin risiko kepada kerajaan dapat dibendung oleh permodalan sektor perbankan yang tinggi dan rekod kawal selia BNM yang baik.

"Penilaian Risiko Negara Industri Bank bagi Malaysia ialah '4', dengan '1' menjadi penilaian yang paling kukuh dan '10' paling lemah," katanya.

S&P berkata lebih daripada satu perempat daripada bon kerajaan Malaysia dalam denominasi ringgit dipegang oleh bukan pemastautin.

Walaupun pemilikan asing boleh dikurangkan, katanya, belanjawan negara yang baik, pasaran modal tempatan kukuh, kadar pertukaran terapung dan 6.4 bulan liputan rizab pertukaran asing pembayaran akaun semasa, akan melemahkan risiko.

"Kami mengunjurkan per kapita KDNK Malaysia berada di bawah US$10,000 sehingga akhir 2016," katanya.
Ia juga tidak menjangka harga tenaga yang rendah akan mengurangkan pertumbuhan ekonomi sebenar secara material dalam tempoh 24 bulan akan datang, memandangkan pengeluaran minyak mentah dan gas asli cecair menyumbang hanya kira-kira 10 peratus daripada KDNK.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan tahunan purata per kapita KDNK sebenar Malaysia adalah 3.7 peratus dalam tempoh 2016-2019. Eksport barangan perkilangan dan pertumbuhan penggunaan swasta dan pelaburan mungkin untuk memacu perkembangan ini," katanya.

S&P berkata unjuran stabil adalah berdasarkan jangkaan kedudukan aset luar negara Malaysia yang kukuh dan fleksibiliti kewangan yang tinggi mengurangkan kemungkinan penurunan kepada kurang daripada satu dalam tiga dalam tempoh 24 bulan akan datang.