SAHAM Amerika Syarikat (AS) jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua minggu dagangan bagi tahun ini.

Kejatuhan lebih 400 mata Indeks Dow Jones itu sebahagian besarnya dipengaruhi oleh faktor penyusutan berterusan harga minyak mentah global.

Menurut Pakar Strategik Ekuiti S&P Capital, Sam Stoval, prestasi buruk kebanyakan pasaran saham utama dunia minggu ini dipengaruhi banyak faktor.

"Banyak faktor yang mempengaruhi penurunan pasaran minggu ini. Yang paling utama ialah disebabkan kejatuhan berterusan minyak mentah dunia.

"Harga emas hitam itu turun naik pada Khamis dan seterusnya terus jatuh pada Jumaat dan ia mengundang kerisauan ramai pelabur," kata Stoval.

Pada Jumaat, minyak mentah Brent ditutup pada AS$28 setong, paras terendahnya sejak Februari 2004.

Menurut Stoval lagi, pelabur turut bimbang dengan potensi pertumbuhan ekonomi China.

"Kami mensasarkan ekonomi China berkembang sekitar 6.5 peratus tahun ini dan kemudian mengukuh kepada 6.7 peratus pada tahun 2017.

"Angka itu sememangnya merisaukan pelabur kerana banyak data-data yang negatif daripada sumber rasmi, malah pelabur masih lagi tidak benar-benar tahu sama ada pertumbuhan itu boleh berlaku atau tidak."

Prestasi pasaran saham China terus merosot dengan Shanghai sekali lagi menerajui kerugian pada Jumaat. Ia mengakhiri dagangan 3.5 peratus ke paras terendah sejak Disember 2014.

Keadaan ekonomi China menjadi topik kebimbangan utama pelabur apabila Beijing mulai menurunkan nilai mata wang yuan.