Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini susulan penurunan di Wall Street pada Jumaat, berikutan kebimbangan berhubung unjuran pertumbuhan global, yang menjejaskan permintaan terhadap ekuiti tempatan pagi ini.

Pada 9.02 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.06 mata kepada 1,692.82 daripada 1,695.88 ketika ditutup pada Jumaat lepas, setelah dibuka 2.84 mata lebih rendah pada 1,693.04 pagi ini.

Keseluruhan pasaran tempatan adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 249 berbanding 162, manakala 806 kaunter tidak berubah, 697 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 302.58 juta unit bernilai RM141.9 juta.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.41, Public Bank turun enam sen kepada RM24.74 dan TNB kurang 12 sen kepada RM14.68.

Saham aktif pula, Orion naik setengah sen kepada 12 sen, Hibiscus Petroleum merosot 2.5 sen kepada 99.5 sen dan Securemetric menokok satu sen kepada 46 sen.

Indeks FBM Emas turun 27.71 mata kepada 11,751.18, Indeks FBMT 100 kurang 28.3 mata kepada 11,601.31, FBM 70 susut 19.87 mata kepada 13,854.08 namun Indeks FBM Ace meningkat 12.17 mata kepada 4,952.36.

Indeks FBM Emas Syariah susut 35.4 mata kepada 11,801.32.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 35.52 mata pada 17,282.07, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri kurang satu mata kepada 172.45 dan Indeks Perladangan susut 11.8 mata kepada 7,170.35.

-- BERNAMA