Hwang Capital (Malaysia) Bhd mendahuhui senarai saham paling untung selepas pengumuman tawaran pengambilalihan bersyarat secara sukarela oleh pemegang saham utama.

Pada pukul 10.38 pagi, saham Hwang Capital melonjak 39 sen kepada RM2.60 sesaham dengan 1.03 juta saham diniagakan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Hwang Capital mengumumkan tawaran pengambilalihan bersyarat secara sukarela daripada Hwang Enterprises Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Hwang Lip Teik, bagi membeli semua baki saham biasa pada harga tawaran RM2.65 sesaham.

Harga tawaran berkenaan mewakili premium 44 sen, atau 19.91 peratus berbanding harga dagangan terakhirnya pada RM2.21 pada 19 Mei sebelum penggantungan.

Setakat 20 Mei, pembuat tawaran bersama memegang 78.06 juta saham atau 30.59 peratus pegangan dalam Hwang Capital.

Hwang, yang juga pengerusi syarikat, merupakan pemegang saham utama Hwang Enterprises dengan 61.6 peratus.

Affin Hwang Investment Bank Bhd, bagi pihak pembuat tawaran bersama, berkata, kedua-dua pembuat tawaran itu tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Hwang Capital di pasaran utama Bursa Malaysia.