Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional hari ini mengumumkan akan membeli baki saham yang masih belum dimilikinya dalam syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan nilai 27 sen sesaham.

Harga itu adalah premium 12.5 peratus berbanding harga penutup saham MAS pada Khamis.

Sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia akan mewujudkan transaksi bernilai RM1.38 bilion.

Menurut Khazanah, cadangan penyahsenaraian ini adalah langkah akhir penstrukturan yang diumumkan pada Jun lepas.

Ia sebelum ini turut membincangkan perkara berkenaan dengan pemegang saham khas, Kementerian Kewangan.

Khazanah menjangka akan mengumumkan pelan tambahan dan terperinci untuk MAS pada akhir Ogos ini.

MAS juga dijangka berdepan perubahan sepenuhnya dalam semua aspek termasuk operasi dan sumber manusia.

Sementara itu saham MAS digantung hari ini disusuli dengan kenyataan Khazanah yang memegang 69 peratus sahamnya yang ia bakal melaksanakan rancangan penyusunan semula korporat syarikat itu.

Pada ketika ini, butiran pelan penyusunan semula itu masih belum diumumkan, tetapi berita pengasingan bahagian kejuruteraan sebagai entiti tersenarai berasingan atau suntikan ekuiti oleh Khazanah kini tersebar.

Harga saham pra-penggantungan MAS semalam ialah 24 sen setelah menurun sebanyak 23 peratus tahun ini.

Bloomberg melaporkan bahawa lembaga syarikat itu akan bermesyuarat petang ini untuk membincangkan hala tuju syarikat.

MAS yang terjejas teruk akibat dua tragedi utama tahun ini – kehilangan pesawat MH370 dan tragedi penerbangan MH17 – tambah tertekan setelah sekian lama menanggung kerugian.

MAS kini mempunyai kadar pelupusan tunai sebanyak RM5 juta setiap hari, menurut laporan oleh Maybank IB, yang dikeluarkan pada 23 Jun.

Situasi ini boleh memberi tekanan kepada rizab tunainya, tetapi pada akhir tahun 2015, ia boleh meningkat sebanyak lima kali dan garis masa satu tahun yang ditetapkan Khazanah sebelum ini untuk penyusunan semula mungkin terlewat.

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM935 juta bagi tahun 2013 dan Maybank menganggarkan kerugian bakal melonjak kepada RM1.2 bilion bagi tahun 2014.

Pada tahun 2013, MAS berjaya meningkatkan jam penggunaan harian pesawat bersaiz kecil daripada sembilan kepada 11 jam.

Kenaikan berterusan harga minyak yang tinggi juga memberi kesan kepada syarikat ini. Menurut Maybank, MAS akan menggunakan 15.8 juta tong bahan api jet pada tahun 2014. Kenaikan harga bahan api jet sebanyak US$1 se-tong untuk tempoh setahun akan menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM51.4 juta.

Pong Teng Siew, ketua penyelidikan di syarikat broker saham Inter Pacific Securities Sdn Bhd berkata, kerajaan mungkin akan menyahsenaraikan syarikat itu.

"Pada pandangan saya, kerajaan (Khazanah) akan membeli baki pegangan saham MAS pada harga terakhir diniagakan iaitu 24 sen, tetapi ia akan terus menguruskan MAS," kata Pong.