Saham gergasi internet Yahoo Jepun melonjak naik pada Selasa selepas ia membatalkan rancangan untuk membeli syarikat telekom domestik eAccess daripada syarikat induknya SoftBank Corp. menerusi satu perjanjian yang dianggarkan bernilai AS$3.2 billion.

Sahamnya melonjak 9.97 peratus kepada 452 yen (RM14.33) pagi Selasa, selepas ia meningkat kepada paras tertinggi harian pada 471 yen (RM14.93), atau 14.59 peratus lebih tinggi berbanding Isnin setelah beberapa minit dagangan dibuka.

Unit Yahoo Jepun pada Mac lalu mengumumkan perjanjian itu yang dikatakan bertujuan untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatan internet melalui telefon pintar dan tablet firma itu.

Namun pada isnin, Yahoo Jepun berkata mereka membatalkan rancangan penggabungan tersebut selepas membuat keputusan bahawa ia adalah lebih efektif untuk mereka mengendalikan dua firma tersebut secara berasingan.

Perjanjian tersebut pada asalnya dijangka akan dimeterai pada bulan hadapan, apabila eAccess bersedia untuk digabungkan dengan syarikat telekom Willcom Inc. yang turut merupakan anak syarikat SoftBank.

Penggabungan kedua syarikat tersebut bagaimanapun masih akan diteruskan.