Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd memperkenalkan perkhidmatan pembayaran mudah alih, 'Samsung Pay' di Malaysia hari ini, melalui kerjasama strategik dengan bank dan peniaga dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai kepada pelanggannya.

Naib Presiden Unit Perniagaan Teknologi Maklumat dan Mudah Alihnya, Lee Jui Siang, berkata rakan kongsinya adalah termasuk Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd, Citibank Bhd, Standard Chartered Bank Bhd dan Hong Leong Bank Bhd.

"Kami optimis melihat minat pengguna yang kukuh dan kesediaan untuk menggunakan pembayaran mudah alih di Malaysia, dengan kemudahan Samsung Pay yang selamat dan mesra pengguna," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Samsung Pay di sini hari ini.

Beliau berkata pelancaran perkhidmatan ini sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia untuk melihat peralihan negara kepada masyarakat tanpa tunai, melalui penggunaan e-bayaran.

"Perkhidmatan Samsung Pay amat sesuai untuk negara kerana Malaysia mempunyai strategi e-bayaran kebangsaan dengan matlamat utama menjadi masyarakat tanpa tunai," kata Lee.

Lee berkata sejak diperkenalkan di Amerika Syarikat dan Korea Selatan dua tahun lepas, Lee berkata, perkhidmatan itu juga boleh didapati di Singapura, Australia, Thailand, Sepanyol, China, Puerto Rico dan Brazil.

Samsung Electronics turut bekerjasama dengan syarikat kad kesetiaan tempatan seperti B Infinite, BonusLink dan Sunway Pals, yang menawarkan peluang kepada ahlinya untuk mengutip mata di kedai-kedai rakan kongsinya, yang boleh ditebus untuk tujuan pembelian, katanya.

Dalam jangka masa panjang, Lee berkata, syarikat gergasi teknologi Korea Selatan itu merancang untuk menukar Samsung Pay daripada perkhidmatan pembayaran mudah alih kepada "mobile wallet".

Di Malaysia, Samsung Pay boleh didapati bagi pengguna model Samsung Galaxy S7 dan S7 edge, S6 edge+, Note5, Galaxy A5 dan A7.

-- BERNAMA