Malaysia mempunyai prospek cerah untuk mengeskport semula sarang burung walit mentah belum bersih ke China sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, kementerian kini dalam proses mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa di China dan dalam masa yang sama pihak Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia turut menunjukkan komitmen untuk menerima produk tersebut dari negara ini.

Beliau berkata, taman perindustrian yang terletak di Guangxi,China itu boleh menjadi 'pintu masuk' kepada produk sarang walit tempatan dengan kemudahan makmalnya bernilai kira-kira RM30 juta sebagai pusat pemeriksaan sampel makanan, termasuk sarang burung walit sekali gus dapat menjadi pusat kawalan kualiti.

"Buat masa ini proses mendapatkan kelulusan dan pembinaan infrastruktur di China telah berjalan secara serentak dan setelah kerajaan Guangxi membelanjakan wang yang begitu banyak tidak mungkin mereka membiarkan usaha Malaysia untuk menghantar produk sarang burung walit menjadi tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi perbincangan mengenai eskport sarang burung walit dengan Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia Gao Pu di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, kementerian merancang untuk membina satu pusat pengumpulan khas bagi sarang burung walit mentah belum bersih di Malaysia bagi memberi rawatan pemanasan selama tiga minit untuk mengesahkan sekurang-kurangnya bakteria biasa berjaya dihapuskan, katanya.

Menurutnya, pusat yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini juga akan membolehkan sarang burung walit mempunyai kebolehkesanan bagi memudahkan pihak berkuasa mempunyai semua maklumat penting untuk setiap produk yang dieksport.

"Kebolehkesanan ini akan memudahkan mereka menyemak daripada mana asal setiap sarang burung walit dan jika sekiranya ada masalah, tidak perlu untuk mengharamkan import satu Malaysia tetapi hanya kawasan tertentu sahaja.

"Ini bagi mengawal kualiti sarang burung walit mentah belum bersih sebelum dieksport ke China dan untuk peringkat seterusnya beberapa pusat pengumpulan yang sama juga akan dibina," katanya.

Ahmad Shabery berkata, apabila berita mengenai kebarangkalian untukChina mengimport semula sarang burung walit mentah belum bersih dari negara ini diuar-uarkan, pasaran memberi reaksi positif.

"Jika dahulu harga sarang burung ini jatuh sehingga RM800 sekilogram, hari ini ia telah meningkat antara RM3,000 hingga RM4,000 sekilogram," katanya.

China menggantung pengeksportan sarang burung walit mentah belum bersih dari Malaysia sejak empat tahun lepas susulan dakwaan terdapat kandungan berbahaya.

-- BERNAMA