Kerajaan negeri Sarawak telah bersetuju untuk membangunkan sebuah taman perindustrian bio yang menempatkan industri termasuk biodiversiti dan pertanian di bandar ini, kata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg.

Tanpa mendedahkan butiran lebih terperinci, beliau berkata keputusan itu diambil selepas kerajaan negeri menerima cadangan syarikat luar negara yang berminat menjalin kerjasama dengan Majlis Biodiversiti Sarawak dalam penyelidikan bahan mentah negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan pembinaan sebuah kampus latihan Institut Kemajuan Desa (Infra) cawangan Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan depan sebagai bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri membangunkan taman perindustrian tersebut.

"Saya telah bersetuju untuk membangunkan taman perindustrian bio di Kota Samarahan yang juga terletak berhampiran pusat pengumpulan pertanian. Kita akan tempatkan industri berteraskan semula jadi termasuk biodiversiti dan pertanian.

"Kampus Infra Sarawak yang dibina oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu misalnya sudah tentu membolehkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mendapat latihan dan seterusnya menjadi pusat latihan kepada usahawan berteraskan pertanian dan sumber biodiversiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Infra Sarawak Kota Samarahan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri KKLW, Datuk Alexander Nanta Lingga.

Kampus Infra Sarawak bernilai RM55.6 juta itu merupakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 dan dilengkapi kemudahan seperti kompleks pentadbiran, blok akademik untuk pembelajaran serta asrama.

-- BERNAMA