Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad memberikan kelonggaran masa untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kepada Amanah Pelaburan Hartanah (REITs) dan penerbitan laporan suku tahunan dan laporan tahunan syarikat tersenarai.

Ini susulan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 hingga 31 Mac 2020.

SC mengumumkan bahawa pasaran modal, sebagai komponen kritikal sektor kewangan Malaysia, akan beroperasi seperti biasa sewaktu tempoh terhad ini.

Kesemua pengantara dijangka terus dibuka dan beroperasi sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, untuk memudah cara sekatan seluruh negara mengenai langkah membendung penyebaran COVID-19, syarikat tersenarai yang hanya boleh mengadakan AGM selepas menjangkaui tempoh 6 bulan seperti yang telah ditetapkan dan termaktub di bawah Akta Syarikat 2016, boleh memohon untuk menangguhkan AGM mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Maklumat lanjut tentang penangguhan boleh didapati di laman sesawang SSM.

Selain itu, SC hari ini telah memberikan kelulusan penangguhan selama dua bulan untuk pengurus Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) tersenarai berdasarkan kewangan akhir tahun 31 Disember 2019 untuk mengadakan AGM pada 30 Jun 2020.