Scomi Engineering Berhad hari ini mengumumkan usahasama bersama syarikat penghasil gerabak keretapi dari Republic Czech, Skoda.

Kerjasama ini adalah bagi meneroka pasaran global dalam membangunkan lebih banyak infrastruktur LRT dan MRT, termasuk di Malaysia.

Ketika ditemuramah Astro AWANI di konvensyen Rail Business Asia 2015 hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Engineering Bhd Kanesan Velupillai berkata ini bagi memberi kebolehan serta kepakaran pada Malaysia untuk menghasilkan LRT dan MRT sendiri tanpa perlu mengimport.

"Hari ini Scomi dan Skoda mengumumkan usahasama bagi meneroka pasaran global untuk membangunkan LRT dan MRT. Ini merupakan usahasama di peringkat dunia. Kami percaya terdapat potensi pasaran yang besar.

"Ada dua sebab mengapa kita mahu melakukan ini. Pertama, ini akan membolehkan Malaysia membuat LRT dan MRT secara tempatan seperti yang telah kita lakukan dengan monorel.

"Kami juga percaya bahawa kami boleh membawa sehingga 60% kandungan tempatan di samping menjimat tukaran asing. Kedua ianya juga untuk kemudahan penyelenggaraan infrastruktur serta pertumbuhan jangka panjang industri. Jadi ini merupakan satu inisiatif utama dari kedua-dua syarikat ini," katanya di sini hari ini.

Sementara itu menurut Pengarah Kanan Penjualan Skoda, Jaromir Hajek, usahasama ini turut menguntungkan syarikat dari kedua-dua negara kerana ia akan membantu Skoda mengembangkan sayapnya ke pasaran tempatan.

"Ini adalah satu cara untuk meluaskan pasaran kami kerana Skoda tidak mempunyai kapasiti yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan kami ke pasaran antarabangsa.

"Oleh itu, kita sedang mencari rakan kongsi tempatan yang mampu menghasilkan produk kami secara tempatan dan juga syarikat yang kukuh dalam pasaran tempatan mereka, dan Scomi adalah contoh yang baik," katanya.

Sambil itu kata Kanesan, usahasama ini akan terus meneroka pasaran global sementara produk Malaysia seperti monorel juga akan dibantu dipasarkan di pasaran Eropah oleh Skoda.

"Kami akan meneroka negara-negara seperti Brazil, India, Sri Lanka dan juga negara-negara di rantau ini. Jadi ini adalah penggabungan entiti korporat Eropah dan Asia yang akan dapat meneroka pasaran global.

"Jadi ini adalah satu pencapaian besar kepada kedua-dua Scomi dan Skoda. Mereka juga akan memasarkan monorel Malaysia di Eropah dan seterusnya kami akan memasarkan trem, LRT dan MRT mereka bersama-sama di sini," katanya lagi.

Kanesan turut berkata Scomi akan terus meneroka peluang pengembangan di masa hadapan demi kebaikan sektor pengangkutan awam.