Sektor binaan di negara ini dijangka berkembang sebanyak 8.2 peratus dengan nilai RM170 billion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata ia dipacu menerusi projek infrastruktur mega di negara ini.

Ia termasuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor, Projek Jajaran Kedua Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT 2) Lembah Klang dan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak.

"Jika pada tahun 2015, pertumbuhan pembinaan adalah 8.2 peratus dengan nilai RM140 billion dan 7.4 peratus dengan nilai RM166 billion pada tahun lalu," katanya pada sidang media Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia Ke-8 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut adalah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.