AirAsia X Bhd (AAX) akan kekal dengan rancangannya untuk memberi tumpuan kepada Asia dan tidak melibatkan sektor Eropah memandangkan rantau berkenaan tidak relevan pada masa sekarang, kata Ketua Pegawai Ekskeutif AirAsia Bhd Group Tan Sri Tony Fernandes.

Syarikat penerbangan tambang rendah perjalanan jarak jauh akan meneruskan strateginya untuk menyediakan penerbangan ke destinasi yang mengambil masa hanya antara lapan dan sembilan jam, kata Fernandes dalam catatan Twitternya.

"AirAsia X beroperasi. Modelnya berjalan. Kami memutuskan penerbangan jarak ultra jauh adalah tidak relevan pada masa kini. Tidak akan tertarik dengan saingan harga laluan London," katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangannya tidak akan menyertai persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan lain yang bersaing untuk ke London.

"Kami biarkan syarikat penerbangan sepenuhnya bersaing bagi laluan Eropah," katanya.

Dalam catatan Twitter yang lain, Fernandes berkata syarikat penerbangan itu akan kekal dengan laluan lain daripada lain seperti Hawaii, yang mengambil masa lapan jam sahaja dari Jepun.

Syarikat penerbangan tambang murah itu kali terakhir ke Eropah, iaitu Paris (Orly) dan London (Gatwick) pada 2012.

Bagaimanapun, syarikat menamatkan penerbangan ke kedua-dua destinasi berkenaan setelah tidak menguntungkan dan syarikat penerbangan tidak dapat menaikkan harga tambang kepada harga yang diingini sekali gus menyebabkan AAX menarik diri daripada kedua-dua bandar itu empat tahun lepas.

Prestasi kewangan AAX diunjur meneruskan momentum positif dalam suku ketiga dan keempat berikutan pendapatan menggalakkan pada suku keempat yang berakhir pada 31 Mac 2017.

"Suku ketiga dan keempat akan menjadi suku tahun terbaik," kata Fernandes.

AAX mencatatkan perolehan sebanyak RM1.18 bilion pada suku pertama 2017, naik 22 peratus, berbanding dengan RM970.67 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut kepada RM31.91 juta daripada RM218.52 juta sebelumnya.

-- BERNAMA