Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memaklumkan, pasaran kewangan kekal berada dalam keadaan stabil meskipun negara kini di bawah pemerintahan kerajaan yang baharu.

Selepas Pilihanraya Umum ke-14, Jawatankuasa Pasaran Kewangan yang beroperasi di bawah BNM menyatakan bahawa pasaran kewangan tempatan Malaysia kekal stabil dan teratur.

Jawatankuasa ini turut menyatakan bahawa pasaran terus berfungsi secara berkesan dalam melancarkan aktiviti perantaraan dalam kalangan peserta pasaran.

Secara keseluruhan, sentimen dan reaksi pelabur adalah positif.

“Sejak pasaran ringgit tempatan dibuka semula pada hari Isnin, ringgit didagangkan hampir dengan harga dagangan terakhir sebelum pilihanraya umum, iaitu sekitar 3.95.

"Harga dagangan menandakan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap kerajaan Malaysia yang baharu,” ulas Datuk Lee Kok Kwan, Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan akan terus memantau perkembangan ini dan bekerjasama dengan peserta pasaran kewangan.